Dokumen ini akan menjadi panduan kepada keluargaku selepas kematian
Aku sedar hidup ini bukan kekal abadi dan suatu hari nanti, kematian pasti akan menjemputku juga.
Dan, atas sebab itu, aku telah sediakan panduan berserta pesanan buat keluargaku tentang setiap aset, harta dan hutang yang aku ada dan aku nyatakan selengkapnya dalam dokumen ini.
Ini antara 10 Sebab Kenapa Aku Sediakan Panduan & Pesanan Ini dan Dinyatakan Dalam Dokumen Ini:
Senarai Harta yang Dimiliki Hartaku tidaklah banyak, tetapi jika tidak disenaraikan, mungkin keluargaku tidak tahu tentangnya.
Seperti orang lain, antara hartaku adalah:
kereta
rumah
motorsikal
basikal
koleksi jam tangan
koleksi gitar
koleksi joran
koleksi kereta Hot Wheels
akaun KWSP
akaun bank
akaun ASB & Tabung Haji
dan beberapa lagi
Semua harta ini ada nilainya tersendiri dan telah aku senaraikan dalam dokumen ini. Dan, tak semua harta ini sudah bebas hutang. Ada yang masih dalam pinjaman seperti kereta, motorsikal dan rumah.
Aku ada maklumkan cara selesaikan hutang-hutang ini di point ke-6 di bawah.
Wasi yang Dilantik
Semasa hidup, tandatangan dan cap jariku adalah laku dan boleh buat apa saja transaksi jual-beli atau pindah hakmilik harta. Tetapi, selepas aku tiada, ia sudah tak laku lagi dan segala hartaku akan dibekukan dari segala transaksi jual-beli atau pindahan hakmilik. Perlu ada seseorang yang boleh menggantikan perananku ini.
Jadi, dalam dokumen ini, aku juga sudah melantik seseorang yang berilmu dan berpengalaman sebagai wasi iaitu orang yang akan bertanggungjawab untuk bantu tebus hartaku yang akan terbeku di Amanah Raya kelak.
Wasi ini boleh dilantik di kalangan individu atau syarikat amanah. Aku memilih syarikat amanah sebagai wasi kerana sebagai sebuah syarikat, ia akan sentiasa ‘ada’ berbanding jika lantik individu, ada risiko individu yang dilantik itu mati dulu sebelumku.
Tidak Perlu Memohon Surat Kuasa Mentadbir
Apabila wasi sudah dilantik dan dinyatakan, maka, urusan permulaan dalam tuntutan pusaka menjadi lebih singkat di mana tidak perlu lagi memohon surat kuasa mentadbir di mahkamah.
Sebaliknya, wasi hanya perlu memohon Geran Probate di Mahkamah Tinggi dan Sijil Faraid di Mahkamah Syariah.
Tidak Perlu Penjamin
Ini adalah antara kelebihan melantik syarikat amanah sebagai wasi. Penjamin tidak diperlukan untuk nilai harta melebihi RM2 Juta.
Untuk nilai harta di bawah RM2 Juta, urusan tuntutan pusaka boleh dilakukan di Pusaka Kecil melaui Pejabat Tanah dan penjamin tidak diperlukan.
Tetapi, untuk nilai harta melebihi RM2 Juta, tuntutan pusaka perlu dibuat melalui Mahkamah Tinggi dan penjamin yang mempunyai nilai harta sama atau melebihi pemilik harta adalah diperlukan.
Jika tuntutan pusaka dibuat menggunakan syarikat amanah, penjamin adalah tidak diperlukan kerana syarikat amanah itu sendiri sudah tertakluk di bawah kuasa dan undang-undang Mahkamah Tinggi.
Penjaga Anak Bawah 18 Tahun
Di dalam dokumen ini juga, aku boleh senaraikan siapa akan jadi penjaga kepada anak-anakku yang berumur di bawah 18 tahun.
Untuk hal ini, hanya suami perlu buat. Isteri tak perlu senaraikan sekiranya buat dokumen ini juga. Ini kerana, by default, tanggungjawab menjaga anak adalah terletak di bawah keluarga sebelah suami.
Jadi, jika suami mahu isteri yang menjaga anak-anak selepas kematian, perlu senaraikan nama isteri sebagai penjaga. Dan, boleh letak nama-nama ahli keluarga lain juga yang kita fikirkan boleh menjalankan tanggungjawab menjaga anak-anak ini.
Senarai Hutang & Cara Penyelesaian
Dengan dokumen ini, aku boleh senaraikan semua hutang-hutang yang belum aku langsaikan. Contohnya, hutang pinjaman bank untuk rumah, kereta dan motorsikal.
Tak perlu letakkan nilai hutang tersebut. Cukup sekadar senaraikan sahaja.
Dan, paling menarik, aku juga boleh senaraikan bagaimana mahu hutang ini diselesaikan sama ada melalui cash dari duit simpanan atau dari pampasan takaful. Di sinilah pentingnya ada pelan perlindungan takaful nyawa yang cover dari segi kematian.
Aku disarankan ambil 2 sijil takaful. 1 dikhususkan untuk penyelesaian hutang-hutang. Nilai pampasannya adalah senilai jumlah hutang yang tidak dilindungi (mohon dengan agent takaful). Di bahagian penama, perlu pilih wasi / pemegang amanah dan letakkan nama syarikat amanah sebagai penerima. Syarikat akan bantu uruskan hutang-hutang ini, tanpa perlu susahkan keluarga.
1 lagi sijil takaful adalah untuk kelangsungan hidup keluarga yang ku tinggalkan. Nilai pampasan adalah disyorkan 120 kali gaji bulanan (atau ikut kemampuan dan sila mohon dengan agent takaful) dan di bahagian penama, perlu pilih hibah dan letakkan nama pasangan sebagai penerimanya. Semoga pampasan yang akan diterima itu boleh menjadi modal meneruskan kehidupan untuk beberapa bulan atau tahun ke hadapan, tanpa diriku di sisi.
Boleh Tentukan Harta Diberi Kepada Siapa & Berapa Bahagian
Dokumen ini juga membolehkan aku tentukan sendiri, siapakah pemilik seterusnya kepada harta-hartaku, di kalangan waris-warisku yang layak menerimanya dan berapa banyak yang boleh diperolehinya, selepas ketiadaanku.
Pengagihan Baki Harta
Setelah semua perkara-perkara di atas diselesaikan, jika masih terdapat baki harta sama ada yang telah tersenarai atau tidak tersenarai, baki tersebut akan dibahagikan kepada semua waris-waris yang layak.
Jadi, dalam dokumen ini boleh ditentukan baki harta ini perlu dibahagikan mengikut Faraid, sama-rata atau ikut arahan si pemilik.
Wakaf & Amanah kepada Bukan Waris
Dokumen ini juga membolehkan kita tentukan sama ada mahu wakaf sebahagian harta yang dimiliki dan/atau berikan sebahagiannya kepada bukan waris (tak lebih 1/3 dari keseluruhan nilai harta, untuk bukan waris)
Arahan Tambahan & Pesanan Terakhir
Mungkin ada arahan-arahan lain atau pesanan yang tidak dapat dimasukkan dalam perkara-perkara di atas.
Contohnya, arahan supaya gunakan duit dari akaun Tabung haji untuk biaya kos pengurusan tuntutan pusaka (sekitar 5% – 10% dari keseluruhan nilai harta) dan juga mahu memesan kepada anak-anak supaya tidak bergaduh tentang pemilikan harta, jaga solat, jaga ibu sebaiknya dan sebagainya.
Boleh disampaikan di ruangan ini dan akan turut dibacakan di hadapan semua waris.
Harta Sepencarian [Tambahan]
Ini adalah dokumen tambahan di mana kita boleh tetapkan apakah harta sepencarian yang dibina sepanjang perkahwinan. Suami perlu buat dan tujuan utamanya adalah untuk melindungi hak semua isteri-isteri, agar pembahagian lebih adil dan sepatutnya.
Harta sepencarian ini hanya akan berkuatkuasa dan pindahan hak milik berlaku atas 3 peristiwa iaitu:
kematian (suami)
bercerai
poligami
Hibah Harta [Tambahan]
Ini juga adalah dokumen tambahan untuk memberikan harta kepada seseorang yang kita mahukan atas kerelaan sendiri. Pemberian itu mungkin adalah kepada waris sendiri seperti anak, cucu atau pasangan dan mungkin juga adalah kepada mereka yang bukan waris.
Ia terserah kepada pemilik harta tersebut dan pindah hakmilik harta tersebut hanya akan berlaku selepas pemilik meninggal dunia. Secara tak langsung, ia juga melindungi hak pemilik ke atas harta tersebut sementara masih hidup.
APAKAH DOKUMEN INI?
Dari penerangan panjang lebar di atas, ada 3 jenis dokumen telah disebut iaitu:
Perkara 1 sehingga 10
Ini adalah tentang DOKUMEN WASIAT. Perkara-perkara inilah yang anda boleh nyatakan dalam dokumen, selengkapnya.
Perkara 1 sehingga 10 + Perkara 11
Ini adalah tentang DOKUMEN HARTA SEPENCARIAN. Ia merangkumi wasiat dan perjanjian harta milik bersama, antara suami dan isteri, sepanjang perkahwinan.
Suami disarankan buat dokumen ini bagi melindungi hak isteri-isteri. Manakala isteri pula, hanya perlu buat dokumen wasiat sahaja untuk harta-harta milik isteri.
Bahagian hak isteri-isteri akan dilindungi, seperti yang terkandung dalam dokumen, melalui 3 peristiwa iaitu:
kematian (suami)
bercerai
poligami
Perkara 1 sehingga 10 + Perkara 12
Ini adalah tentang DOKUMEN HIBAH HARTA. Ia merangkumi wasiat dan deklarasi bahawa sesuatu harta itu akan diserah-hak kepada penerima (secara mutlak), hanya selepas kematian pemilik.
Harta yang telah dihibahkan tidak perlu dibahagi Faraid kerana ia adalah kehendak pemilik semasa masih hidup, mahu berikan kepada seseorang itu.